Pages

Tuesday, March 9, 2010

Rasulullah manusia istimewa

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN

SELAKU umat Islam, kita meyakini dan mempercayai bahawa Nabi Muhammad SAW ialah manusia yang harus berlaku ke atas Nabi SAW apa yang harus ke atas manusia yang lain.

Ia seperti mengalami hal-hal yang mendatang dan ditimpa penyakit yang tidak mengurangi kewibawaan baginda SAW sebagai seorang nabi dan tidak menyebabkan orang menjauhkan diri daripadanya.

Nabi Muhammad SAW juga adalah seorang hamba Allah SWT yang tidak memiliki kekuasaan pada dirinya untuk menolak sebarang kemudaratan atau mendatangkan manfaat, memati atau menghidupkan atau membangkitkan, kecuali apa yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Allah SWT berfirman: Katakanlah, "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui (perkara-perkara) yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman. (al-A'raf: 188)

Sesungguhnya Nabi SAW telah menyampaikan risalah dengan sempurna, menunaikan amanah, menasihati ummah, menghapuskan dukacita dan berjihad di jalan Allah sehingga kewafatan baginda SAW. Kemudian baginda kembali ke hadrat Tuhannya dalam keadaan reda dan diredai, sebagaimana firman Allah SWT: Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad!) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati. (al Zumar: 30)

Sifat 'ubudiyyah (perhambaan) adalah semulia-mulia sifat baginda SAW. Oleh kerana itu, baginda amat berbangga dengannya sebagaimana sabdanya: "Sesungguhnya aku hanyalah seorang hamba Allah".

Allah SWT telah menyifatkan nabi SAW sebagai hamba-Nya, pada setinggi-tinggi kedudukan ketika Allah menceritakan anugerah Isra' kepada baginda sebagaimana firman-Nya: Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya…(al-Isra: 1)

Begitu juga firman Allah: Dan sesungguhnya tatkala hamba Allah (Nabi Muhammad SAW) berdiri mengerjakan ibadat kepada-Nya, mereka (golongan jin yang mendengar bacaan ayat al-Quran baginda di dalam solatnya) hampir-hampir menindih satu sama lain mengerumuninya. (al Jin: 19)

Sifat manusiawi Nabi SAW inilah merupakan mukjizat baginya. Baginda SAW adalah manusia seperti manusia yang lain, tetapi baginda jelas jauh berbeza daripada manusia umum; tanpa ada seorang manusia pun yang dapat menandinginya atau menyamainya.

Baginda SAW sendiri pernah bersabda di dalam hadis sahih mengenai keistimewaan dirinya: "Sesungguhnya aku tidak seperti keadaan kamu. Aku tidur di sisi Tuhanku dalam keadaan diberi makan dan minum".

Dengan ini, jelaslah bahawa menyifatkan Rasulullah SAW sebagai manusia biasa wajib disertai dengan keistimewaannya yang membezakannya daripada manusia umum; dengan menyebut keistimewaannya yang tersendiri dan biografinya yang terpuji.

Tuntutan ini bukan sahaja khusus terhadap Rasulullah SAW, bahkan terhadap nabi-nabi dan rasul-rasul yang lain supaya pandangan kita terhadap mereka bersesuaian dan layak dengan martabat dan kedudukan mereka.

Jika kita memandang mereka hanya sebagai manusia biasa semata-mata, tanpa mengaitkannya dengan ciri-ciri khusus atau istimewa mereka sebagai nabi dan rasul, maka kita telah terjerumus ke dalam tradisi dan sikap orang jahiliah.

Di dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang menyentuh hal tersebut. Antaranya, perkataan kaum Nabi Nuh a.s mengenai nabi mereka sebagaimana yang dihikayatkan oleh Allah dalam firman-Nya: Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir daripada kaumnya, "Kami tidak memandangmu (wahai Nuh!) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami". (Hud: 27)

Ayat yang lain adalah perkataan kaum Nabi Musa a.s dan Harun a.s mengenai nabi mereka sebagaimana yang dihikayatkan oleh Allah SWT dalam al-Quran: Sehingga mereka berkata (dengan angkuhnya), "Patutkah kita beriman kepada dua manusia seperti kita, sedangkan kaum mereka (Bani Israel) menjadi orang-orang suruhan kita?" (al-Mukminun: 47)

Begitu juga dengan apa yang dikatakan oleh kaum Thamud kepada nabi mereka, iaitu Nabi Saleh a.s, sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah dalam al-Quran: Engkau hanyalah seorang manusia seperti kami; oleh itu, bawakanlah satu tanda (mukjizat) jika betul engkau daripada orang-orang yang benar. (al-Syu'ara': 154)

Hal yang sama pernah juga dilakukan oleh kaum Nabi Syuaib a.s yang memandang nabi mereka sebagai manusia biasa, bahkan sebagai seorang pendusta, sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah melalui firman-Nya: Mereka berkata, "Sesungguhnya engkau adalah dari kalangan pelaku sihir. Dan engkau hanyalah seorang manusia seperti kami; dan sesungguhnya kami fikir engkau ini daripada orang-orang yang dusta. (al- Syu'ara': 185)

Begitu juga dengan apa yang dikatakan oleh orang musyrikin terhadap Nabi Muhammad SAW. Mereka hanya memandang nabi SAW sebagai manusia biasa, sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah SWT dalam al-Quran: Dan mereka pula berkata, "Mengapa Rasul ini makan, minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)?" (al-Furqan:7)

Rasulullah SAW sendiri telah menyatakan dalam sabdanya tentang kemuliaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepadanya dengan semulia-mulia sifat dan pelbagai perkara yang mencarik adat (mukjizat) yang membezakannya daripada manusia yang lain.

Di antaranya ialah sabda Rasulullah SAW mengenai peribadinya di dalam hadis sahih: "Kedua-dua mataku tidur, tetapi hatiku tidak tidur".

Di dalam hadis sahih yang lain, nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya aku dapat melihat kamu dari belakangku sebagaimana aku melihatmu dari depanku".

Baginda SAW juga bersabda: "Aku dianugerahkan kunci-kunci perbendaharaan bumi."

Meskipun pada fizikalnya, baginda SAW telah wafat, tetapi baginda masih hidup dengan kehidupan Barzakhiyyah (di alam barzakh) secara sempurna. Baginda SAW dapat mendengar perkataan orang yang masih hidup di dunia dan mendengar salam mereka serta menjawabnya.

Bahkan, disampaikan kepada baginda SAW setiap selawat yang diucapkan kepada Baginda SAW dan juga diperlihatkan kepadanya segala amal perbuatan umatnya.

Keampunan

Baginda SAW berasa senang dan gembira dengan amal soleh orang-orang yang baik, dan sentiasa meminta keampunan bagi umatnya yang melakukan dosa. Sesungguhnya, Allah SWT telah mengharamkan bumi ini daripada memamah jasad nabi SAW yang sentiasa terpelihara daripada sebarang kerosakan dan pemusnah yang terdapat di dalam bumi.

Diriwayatkan daripada Aus ibn Aus r.a, beliau berkata: Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya, di antara hari kamu yang paling mulia ialah hari Jumaat. Pada hari itulah, Nabi Adam a.s diciptakan dan pada hari itu juga beliau diwafatkan. Pada hari Jumaat juga, terjadinya tiupan sangkakala, dan pada hari itu juga terjadinya so'iqah (petir dahsyat atau Kiamat). Maka perbanyakkanlah membaca selawat kepadaku pada hari itu kerana selawat kalian akan dipersembahkan kepadaku". Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah! Bagaimanakah selawat kami akan dipersembahkan kepadamu, padahal kamu telah binasa?" Baginda SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas bumi ini daripada memamah jasad para Nabi". (riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, Ibnu Hibban di dalam Sohihnya dan Imam Hakim mensahihkannya.)

Al Hafiz Imam Jalaluddin al Suyuti r.a menulis risalah khusus mengenai perkara ini yang bertajuk Anba' al Azkiya' bi Hayah al Anbiya' (Perkhabaran Orang Cerdik Pandai Mengenai Kehidupan Para Nabi).

Diriwayatkan daripada Ibnu Mas'ud r.a, daripada Rasulullah SAW yang bersabda: "Kehidupanku adalah baik bagi kamu, kamu berbicara (bertanya masalah dan hukum kepada Baginda SAW) dan dibicarakan bagi kamu (dengan wahyu dan syariah daripada Allah melalui perantaraan Baginda SAW). Kewafatanku juga adalah baik bagi kamu kerana dibentangkan amalan kamu ke atasku. Apa yang aku lihat dari amalan itu baik, maka aku memuji Allah dan apa yang aku lihat dari amalan itu jahat, aku memohon keampunan kepada Allah untuk kamu". (Al Haithami mengatakan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh al Bazzar, dan rijalnya adalah sahih)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tiada seorang pun yang mengucapkan salam ke atasku kecuali Allah mengembalikan kepadaku rohku, sehingga aku (dapat) menjawab salamnya". (riwayat Abu Daud dan Imam Ahmad)

Menurut sebahagian ulama, maksud Allah mengembalikan rohku adalah: "Allah mengembalikan kepadaku kemampuan berbicara".

Diriwayatkan pula daripada 'Ammar ibn Yasir r.a berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT mewakilkan pada kuburku malaikat yang diberikan nama-nama makhluk kepadanya. Maka tidak ada seorang pun yang membaca selawat ke atasku hingga hari kiamat, melainkan dia menyampaikan kepadaku nama orang tersebut beserta nama ayahnya, "Ini Fulan ibn Fulan telah berselawat ke atasmu". (riwayat al Bazzar dan Abu al Sheikh Ibnu Hibban).

Berdasarkan hadis tersebut, jelaslah bahawa meskipun baginda telah wafat, tetapi kemuliaan, kedudukan dan pangkatnya yang tinggi di sisi Tuhannya tetap kekal dan tidak diragui lagi di sisi orang yang beriman.

Menganggap Nabi SAW sama sahaja dengan manusia yang lain pada semua keadaan dan sifat-sifat mereka adalah suatu tanggapan yang jelas salah dan kejahilan yang ditolak sama sekali oleh dalil-dalil yang sahih dari al-Quran dan sunnah.

Jika Nabi SAW tidak mempunyai ciri-ciri istimewa dan khusus, apakah hikmah dan faedah terpilihnya mereka menjadi nabi dari manusia yang lain? Tidak ada salahnya kita memuliakan dan memuji baginda SAW. Malah sememangnya kita digalakkan memuji dan memuliakan nabi SAW lebih-lebih lagi pada bulan kelahiran baginda SAW ini selagi ia tidak sampai menyamatarafkan baginda SAW dengan sifat-sifat ketuhanan.

Mengatur tabiat makan anak

Oleh KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR


Tabiat mengambil makanan ringan di kalangan kanak-kanak tidak digalakkan.

KECENDERUNGAN kanak-kanak memilih makanan segera dan makanan rapu (junk food) sebenarnya mewujudkan tabiat pemakanan tidak sihat.

Memburukkan keadaan, hampir saban hari kanak-kanak ini terdedah dan tertarik dengan iklan-iklan makanan segera berjenama terkenal yang menggiurkan.

Kebanyakan makanan segera dan makanan ringan di pasaran hari ini mengandungi emulsifier, bahan pewarna dan perisa yang antaranya boleh mendatangkan mudarat.

Begitu juga dengan kandungan lemak tidak tepu, gula dan garam yang tinggi ditambah lagi kandungan serat yang sangat rendah dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan sesiapa sahaja terutama anak-anak.

Ada ibu bapa yang tidak mengambil pusing akan hal ini, ditambah lagi mereka sendiri mempunyai tabiat pemakanan yang kurang sihat.

Ada juga ibu bapa yang beranggapan tiada salahnya anak-anak tidak dihidangkan makanan sewajarnya seperti sayur-sayuran atau buah-buahan dalam menu harian, lantaran begitu banyak pil-pil vitamin yang boleh dibeli untuk anak-anak di pasaran.

Ironinya, pakar pemakanan sendiri tidak menggalakkan masyarakat untuk terlalu bergantung kepada pil-pil suplemen seperti ini.

Menurut Coughlin (2003) dalam penulisan jurnalnya bertajuk 'Body image dissatisfaction in children: prevalence and parental influence' terdapat tiga faktor yang menyebabkan anak-anak mempunyai tabiat makanan yang tidak sihat.

Pertama, apabila anak-anak mempunyai pilihan makanan ringan yang banyak di rumah.

Misalnya melambakkan sebegitu banyak stok makanan ringan, gula-gula atau air berkarbonat di dapur sekadar tujuan untuk dinikmati secara ringan sambil bersantai menonton televisyen.

Keadaan ini membuka ruang dan pengaruh kepada anak-anak untuk lebih tertarik menikmati makanan ringan tersebut berbanding makanan berat yang lebih berkhasiat.

Memang tidak salah untuk sesekali anak-anak makan makanan ringan, namun ibu bapa perlu menyediakan pilihan makanan ringan yang berkhasiat seperti biskut, roti berkrim, bertih jagung rendah lemak, yogurt atau pun kismis.

Faktor kedua, keperluan anak-anak untuk memilih makanan kegemaran. Kadang kala, ada anak-anak yang dipaksa ibu bapa untuk makan satu-satu jenis makanan sahaja.

Ia akan menyebabkan anak-anak kebosanan dan tidak berminat untuk terus menikmati sajian makanan yang serupa.

Maka ibu bapa harus bijak mempelbagaikan jenis atau cara masakan yang disajikan sama. Yang pentingnya, khasiat makanan tetap terpelihara dan memberi faedah kepada perkembangan tubuh badan dan mental anak-anak.

Jika anak-anak mahu makan burger, sosej atau ayam goreng seperti mana yang dijual di restoran makanan segera, ibu bapa sendiri sebenarnya mampu untuk menyediakan makanan segera tersebut dengan jaminan khasiat yang lebih tinggi.

Faktor ketiga pula adalah emosi. Kanak-kanak yang mengalami kesedihan, ketakutan atau krisis kekeluargaan cenderung memiliki tabiat kurang makan atau terlebih makan.

Jika ibu bapa melihat emosi anak-anak yang terganggu sebegini turut memberi kesan negatif kepada tabiat pemakanan mereka, maka dicadangkan agar masalah yang menghantui anak-anak itu diselesaikan dahulu, bukan terfokus kepada membetulkan kaedah makan mereka.

The American Academy of Peadiatrics misalnya mencadangkan beberapa perkara dalam menyusun-atur semula jadual pemakanan dan tabiat makanan seharian anak-anak yang sihat.

Banyak ibu bapa yang risau anak-anak mereka makan mungkin terlalu sedikit atau terlalu banyak. Maka, untuk mengelak kerisauan dan membimbing anak-anak makan dengan betul, kedua-dua pihak perlu sedar akan tanggungjawab masing-masing.

Tanggungjawab ibu bapa adalah menyediakan pilihan makanan berkhasiat dalam hidangan makanan utama (sarapan, makan tengahari dan makan malam) dan makan ringan seperti minum petang.

Ibu bapa menentukan apa untuk dimakan, di mana dan bila. Tanggungjawab anak-anak pula untuk memilih berapa banyak mereka perlu makan makanan yang disediakan ibu bapa.

Kaedah ini mungkin mengambil masa jika ia baru hendak dipraktikkan, namun ia akan membentuk disiplin makan yang baik untuk anak-anak di mana mereka memperoleh jumlah makanan berkhasiat yang sepatutnya, pada waktu yang tepat dan tempat yang betul.

Ibu bapa sendiri patut mengamalkan tabiat pemakanan harian yang sihat supaya anak-anak akan melihat dan mengikutnya sebagai contoh yang baik.

Begitu juga ibu bapa yang merokok perlu seboleh-bolehnya mengelakkan diri daripada merokok di hadapan anak-anak, atau lebih baik lagi berhenti terus daripada merokok.

Membuat aktiviti fizikal dan jasmani secara tekal dan kerap bersama anak-anak akan membantu mereka menjadi sihat. Senaman yang dilakukan mampu membakar kalori yang diambil dalam makanan, mengeluarkan toksik di samping merapatkan hubungan sesama ahli keluarga.

Makan secara bersama-sama dalam keluarga sekerap mungkin. Sediakan menu makanan yang menarik, pelbagai dan segar. Dalam sesi makan seperti inilah ibu bapa dan anak-anak lebih mudah untuk mendapatkan kata sepakat tentang tabiat pemakanan dan jenis makanan yang baik untuk seisi keluarga.

Jika mampu, bawa anak-anak berjumpa pakar pemakanan atau ke pusat kesihatan untuk membuat pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan khidmat nasihat yang sewajarnya.

Kadang kala, anak-anak akan lebih terpengaruh dan mempercayai kata-kata seorang doktor berkaitan tabiat makan yang betul daripada nasihat ibu bapanya. Namun ia bukanlah satu isu yang besar, asalkan anak-anak dapat terus sihat dan membesar dengan normal dan baik.

Kesimpulannya, jika tabiat makan anak-anak tidak diselaraskan dan dikawal sebaiknya oleh ibu bapa, dikhuatiri mereka akan mudah menghidap penyakit-penyakit kronik yang boleh mengundang kesan negatif dalam jangka masa pendek mahu pun panjang.

Pemilihan makanan yang tepat turut mampu membantu seisi keluarga untuk berjimat-cermat sekali gus memiliki tubuh badan yang sihat.

Duit tidak dibazirkan membeli makanan yang tidak berkhasiat lagi 'beracun', bahkan jimat daripada terpaksa membayar bil-bil perubatan kerana keadaan ahli keluarga sakit dek tabiat makan yang buruk.

Istiqamah lakukan kebajikan

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI


Umat islam perlu istiqamah dalam mengerjakan amal kebajikan.

Al-Maraghi berkata: Dalam ayat ini, Allah SWT menyebut perkara-perkara yang memberi hiburan kepada mereka dan membuat hati mereka bersabar pada saat menghadapi kesengsaraan tersebut.

Di samping itu, Allah SWT menjelaskan betapa kecilnya kesenangan yang diberikan kepada orang kafir di dunia ini serta amat sedikit sekali lagi fana.

Oleh itu, orang yang mempunyai akal yang sihat tidak sepatutnya membandingkan apa yang ada di dunia ini dengan kenikmatan yang abadi di akhirat.

Ayat ke-199

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Sesungguhnya di antara ahli kitab, ada orang yang beriman kepada Allah dan (kepada) apa yang diturunkan kepada kamu (al-Quran) dan juga (kepada) apa yang diturunkan kepada mereka, sedang mereka khusyuk kepada Allah dengan tidak menukarkan ayat-ayat Allah untuk mengambil keuntungan dunia yang sedikit. Mereka itu beroleh pahalanya di sisi Tuhan mereka. Sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya.

Sebab nuzul ayat

Ibn al-Jauzi menyebut empat pendapat:

i. Ia diturunkan kepada raja Najashi kerana apabila dia mangkat, Rasulullah SAW solat ke atasnya. Lantas ada yang berkata: Dia solat ke atas orang Kristian sedangkan dia berada di negerinya. Maka turunlah ayat ini seperti yang dinyatakan oleh Jabir bin Abdullah, Ibn Abbas, Anas dan al-Hasan.

ii. Diturunkan kepada orang yang beriman di kalangan ahli kitab daripada Yahudi dan Nasara. Makna ini diriwayatkan oleh Abu Soleh daripada Ibn Abbas dan inilah pendapat Mujahid.

iii. Ayat ini diturunkan kepada Abdullah bin Salam dan rakan-rakannya. Inilah pendapat Ibn Juraiz, Ibn Zaid dan Muqatil.

iv. Diturunkan kepada 40 orang ahli Najran, 30 orang Habsyah, lapan orang Rom yang mereka beriman atas agama Isa dan kemudian beriman dengan Nabi SAW. Inilah pendapat Ata'.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: Allah menerangkan daripada nas ini pintu rahmat yang terbuka untuk mereka dengan menyebut penegasan sesungguhnya dan dikuatkan lagi sumpahan selepas daripada ayat tersebut. Ini kerana mereka yang beriman dan mendapat hidayat mempunyai lima sifat:

Pertama: Mereka beriman dengan sedalam-dalam dan seikhlasnya. Iman mereka menghilangkan ego dan kesombongan untuk mencari Tuhan yang sebenarnya.

Kedua: Mereka beriman dengan apa yang diturunkan kepada Nabi SAW dan mengetahui bahawa ia adalah Nabi yang terakhir.

Ketiga: Mereka beriman dengan hakikat apa yang diturunkan kepada mereka dan mengetahui pemimpin mereka telah mengubah dan meminda kalam Allah.

Keempat: Khusyuk dan takut kepada Allah SWT.

Kelima: Mereka tidak terkesan sesuatupun daripada dunia untuk menggadai atas ayat Allah yang menjadi tanda dan bukti.

ii. Al-Maraghi berkata, Allah SWT menjelaskan mengenai sifat-sifat mereka yang sepatutnya mendapat kemuliaan dan kehormatan:

lMereka beriman kepada Allah SWT dengan iman yang sebenar-benarnya tanpa dipengaruhi unsur kesyirikan.

lMereka mempercayai kitab suci yang diturunkan kepada umat Islam, iaitu apa yang diwahyukan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW.

lMereka beriman dengan kitab suci yang diturunkan kepada mereka, iaitu segala wahyu yang diberi oleh Allah SWT kepada nabi mereka.

lKhusyuk. Terhasil melalui keimanan yang benar dan rasa takut kepada Allah SWT melahirkan perasaan yang nyata taat kepada perintah Allah dan Rasul-Nya.

lMereka tidak menukar ayat-ayat Allah dengan kesenangan dunia.

iii. Muhammad Quraish Shihab berkata: Difahami oleh ulama dalam erti kesempurnaan ilmu-Nya, dan ada juga yang memahaminya dalam erti kata dekatnya waktu perolehan ganjaran itu.

iv. Al-Sonhaji berkata: Ayat ini menerangkan tentang sekumpulan ahli kitab yang telah tunduk mengikut petunjuk al-Quran padahal sebelumnya mereka tunduk mengikut petunjuk yang di bawa oleh Nabi mereka.

Ayat ke-200

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).

Sebab nuzul ayat

Abu Salamah bin Abdul Rahman berkata: Ayat ini diturunkan kepada golongan yang menanti solat selepas selesai solat dan bukan bermaksud peperangan.

Iktibar dan fiqh ayat:

Maksud mereka yang diperintah dengan sabar ada lima pendapat:

Pertama: Bala dan jihad. Inilah pendapat Ibn Abbas r.a.

Kedua: Agama. Inilah pendapat al-Hassan, al-Qurazi dan al-Zajjaj.

Ketiga: Segala musibah. Inilah pendapat al-Hassan juga.

Keempat: Segala fardu. Inilah pendapat Said bin Jubair.

Kelima: Taat kepada Allah SWT. Inilah pendapat Qatadah.

Adapun maksud dengan diperintahkan supaya menyabarkan diri ada dua pendapat:

Pertama: Musuh. Inilah pendapat Ibn Abbas r.a dan Jumhur.

Kedua: Janji yang Allah SWT janjikan kepada mereka. Inilah pendapat Ata' dan al-Qurazi.

ii. Al-Maraghi berkata: Bersabarlah kamu menghadapi segala penderitaan dan kesulitan dunia seperti sakit, ditimpa kemelaratan dan ketakutan. Sabar bermaksud tabah menghadapi sesuatu yang tidak berkenaan di hati yang datang daripada orang lain termasuk dalam pengertian ini ialah tabah menghadapi gangguan daripada ahli keluarga dan jiran tetangga serta tidak bersikap dendam terhadap orang yang berbuat tidak baik kepadamu.

iii. Muhammad Quraish Shihab berkata: Bermacam-macam sabar yang dituntut dari manusia, antaranya:

lBersabar menghadapi perbezaan pendapat atau keimanan.

lBersabar memelihara persatuan dan kesatuan.

lBersabar dalam mengerjakan solat dan berdoa.

lBersabar dalam pelbagai musibah.

iv. Al-Sonhaji berkata: Allah SWT menyeru orang-orang mukmin supaya bersabar di dalam sebarang usaha yang membawa kepada mentaati Allah dan melaksanakan kewajipannya.

Semoga Allah SWT memberi taufik kepada kita untuk mengerjakan amalan yang diredai-Nya sehingga kita mampu memperoleh kebahagiaan di dunia serta di akhirat dan berkata kemurahan-Nya, kebaikan-Nya, kurniaan-Nya dan dermawan-Nya.

Semoga ucapan salam sejahtera selalu diberikan kepada Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda dan semua para sahabat baginda.

Hawwa isteri yang sabar

HAWWA binti Yazid adalah wanita yang awal memeluk Islam. Dia anak saudara Saad bin Muaz. Dia berkahwin dengan Qais bin al-Khatim al-Aus. Mereka mendapat dua orang anak lelaki iaitu Yazid dan Sabit.

Hawwa adalah seorang wanita yang tabah dan sabar. Suaminya seorang penyair yang sangat terkenal. Semasa Hawwa memeluk agama Islam, suaminya masih menganut agama nenek moyangnya. Berita keislaman Hawwa sampai ke pengetahuan suaminya.

"Saya tidak suka awak menganut agama Islam. Berani awak mempermainkan agama nenek moyang kita," kata suaminya.

Hawwa dengan tegas berkata: "Saya sudah bertekad dengan agama Islam. Allah adalah tuhan saya. Allah Yang Maha Esa. Tiada tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah".

"Berani awak melawan cakap saya," kata Qais dengan nada tinggi lalu menampar muka isterinya.

"Biar apa pun yang awak lakukan terhadap saya, saya tidak takut dan gentar," jelas isterinya yang kesakitan menahan tamparan di pipinya.

Sejak Hawwa memeluk agama Islam, suaminya sering menyiksa dan menyakitinya. Anak-anaknya juga masuk Islam. Yazid dan Sabit merupakan sahabat Nabi Muhammad. Yazid pernah menyertai Perang Uhud.

Berita penyiksaan Hawwa oleh suaminya telah sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad.

"Wahai Nabi Muhammad, saya dengar Qais bin al-Khatim menyiksa isterinya, Hawwa yang sudah memeluk agama Islam. Dia kini tinggal di Madinah," kata seorang lelaki kepada Nabi Muhammad.

Pada ketika itu Nabi Muhammad masih berada di Mekah. Nabi Muhammad belum berhijrah ke Madinah. Sejak Islam bertapak di Madinah, ramai penduduk yang tertarik dan masuk Islam.

Mendengar berita penyiksaan Hawwa, Nabi Muhammad berasa simpati lalu berkata: "Saya akan bantu dan menyelamatkan Hawwa dari terus diseksa oleh suaminya".

Pada suatu hari, Qais berjumpa dengan Nabi Muhammad di sebuah pasar iaitu Dzi al-Majaz yang terdapat di Mekah. Pasar itu merupakan pasar orang Arab yang sangat terkenal pada zaman jahiliah.

"Apa khabar Qais," tanya Nabi Muhammad.

"Saya sihat sejahtera," jawab Qais.

Lalu Nabi Muhammad berkata lagi: "Wahai Qais, saya menyeru awak supaya ikut jejak langkah isteri awak memeluk agama Islam".

"Maafkan saya. Pelawaan tuan itu bagus tetapi saya tidak berniat menukar agama. Saya tidak berminat untuk memeluk agama Islam. Tambahan pula pada masa sekarang ini saya sibuk dengan perang," kata Qais.

Pada masa itu telah berlaku perang saudara antara kabilah Aus dan Khazraj. Perang tersebut hampir memusnahkan kedua-dua belah pihak. Akhirnya perang tersebut tamat di Bu'ats yang terletak berhampiran dengan kota Madinah.

Berkali-kali Nabi Muhammad mengajak Qais memeluk Islam. Qais tetap dengan pendiriannya dengan menolak ajakan Nabi Muhammad.

Sebentar kemudian, Nabi Muhammad berkata pula, "Wahai Qais, saya telah menerima khabar bahawa awak sering menyiksa dan menyakiti isteri awak. Sejak isteri awak masuk Islam, awak layan dia dengan kejam. Kasihanilah kepada isteri awak. Takutlah kepada Allah. Jaga isteri awak baik-baik. Jangan awak sakitinya lagi. Saya berharap awak dapat berbuat baik terhadapnya".

Qais tersentuh hatinya apabila mendengar kata-kata Nabi Muhammad. Kemudian dia berkata, "Baik, sebagai menghormati awak saya berjanji tidak akan menyeksa dan menyakiti isteri saya lagi".

Qais pulang ke Madinah dan berjumpa dengan isterinya. Lalu dia berkata: "Semasa saya berada di Mekah saya telah berjumpa dengan Nabi Muhammad. Saya telah berjanji tidak akan menyeksa dan menyakiti awak lagi".

Hawwa gembira lalu bertanya: "Benarkah?"

"Ya. Mulai pada hari ini saya tidak akan mengganggu urusan awak," jelas Qais lagi.

"Terima kasih Muhammad kerana membantu saya menyedarkan suami saya akan perbuatan kejamnya terhadap saya. Terima kasih ya Allah kerana telah membuka hati suami saya. Selepas ini saya akan lebih tenang melakukan ibadah kepada-Mu," bisik Hawwa sendirian.

Hawwa gembira kerana dapat melakukan amal ibadah dengan tenang tanpa sebarang gangguan dari suaminya.

Majlis Pertunangan Along pie



majlis pertunangan k nor





Sepohon Kayu - NadaMurni