Pages

Monday, July 6, 2009

Ayah sumber inspirasi

JAM menunjukkan jam empat pagi. Aku masih menyiapkan tugasan kuliahku. Aku berehat sekejap, lalu ku terbaca risalah hari bapa yang diposkan ke rumah semalam. Pelbagai iklan, promosi dan aktiviti yang diadakan sempena hari bapa.

Walaupun aku percaya bahawa hari bapa tidak semestinya hanya disambut secara bermusim kerana bapa harus dikenang setiap hari, namun aku merasakan hari bapa wajar diraikan agar anak-anak dan ibu memahami perjuangan dan tanggungjawab yang dipikul oleh seorang insan bergelar ayah.

Aku terkenang ayahku. Sejak aku kecil, kulihat ayah selalu sibuk. Sibuk dengan tugas rasminya, sibuk dengan undangan ceramah, menghadiri seminar di dalam dan luar negara, mesyuarat, usrah dan sebagainya.

Pada mulanya aku pun tidak mengerti mengapa ayah selalu tiada di rumah. Kadangkala kasihan juga melihat ayah kepenatan, adakalanya tiga atau empat acara sekali gus.

Puas kami sekeluarga memujuk ayah supaya memperlahankan aktiviti ayah, bimbang ayah akan kepenatan. Tetapi selalu ayah memberitahu bahawa usia mungkin sudah makin lanjut, tapi hatinya masih muda.

Ya, aku mengerti bahawa sekiranya minat dan semangat sudah menebal dalam diri, ia akan menjadi dorongan yang paling kuat dalam diri. Sejak mudanya ayah tidak pernah mengenal erti jemu dan penat dalam melaksanakan tugasnya.

Pengalaman kami sekeluarga membesar dengan kepayahan di luar negara menjadi sekolah hidupku dalam mengerti peranan ayah dan ibu. Ayah melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat doktor falsafah. Bukan sedikit cabaran dan dugaan yang terpaksa ditanggung, terutama sekali untuk ayah dan ibu.

Banyak masa, pengorbanan dan air mata yang tumpah untuk menggapai impian dan cita-cita ayah. Ayah dan ibu menjadi pelindung, pendidik dan pembakar inspirasi kami sedari kecil.

Namun yang amat kukagumi adalah dalam kesibukannya memenuhi setiap tugasannya, kami sedikit pun tidak terasa kekurangan kasih sayangnya.

Mungkin kerana keluarga kami yang ramai, tetapi kami sentiasa merasakan kehadiran ayah walaupun ayah tiada di rumah. Jika ayah tiada bersama sekalipun, telefonlah menjadi penghubung. Sehingga kini, ayah menjadi tidak senang jika aku dan adik-beradik ku tidak menelefon bertanya khabar.

Kuingat dahulu semasa kami pulang awal ke tanah air kerana aku perlu mengambil peperiksaan menengah rendah, poskad ayah dari luar negara yang kami tunggu tiap-tiap bulan.

Setiap hari aku akan membacanya sehingga mendapat poskad yang seterusnya. Amat mengagumkan apabila segalanya terluah walaupun dengan kata-kata yang ringkas. Dan ibu, kulihat kadangkala menangis membaca surat dari ayah.

Aku yakin kerana kerana itulah kami tidak pernah merasakan kekurangan kasih ayah walaupun di tengah kesibukannya. Aku percaya bahawa ayah tidak pernah melupakan kami di saat ayah sedang giat dengan urusannya.

Komunikasi secara berterusan menjadi kunci kepada perhubungan yang berkesan. Ia menjadi teladan kepada kami supaya sentiasa mengutamakan dan menghargai peranan keluarga dalam pembentukan watak dan jati diri.

Aku percaya bahawa sesibuk mana seseorang ayah atau ibu sekalipun, komunikasi berterusan dengan anak-anak tidak boleh diabaikan kerana kekurangan aspek ini memberi kesan yang amat mendalam pada pembentukan identiti anak-anak.

Mengeluh

Lihat sahaja berapa ramai antara remaja kini yang mengeluh bahawa ayah dan ibu tidak mempedulikan mereka, lalu mereka mengisi kelompongan jiwa dengan rakan-rakan. Sekiranya rakan tersebut mempunyai peribadi yang baik, maka sekurang-kurangnya rakan itu boleh menjadi pendinding gejala yang tidak sihat.

Namun jika sebaliknya berlaku, maka dikhuatiri banyak lagi kerosakan yang akan berlaku. Ada juga rakan-rakanku mengadu bahawa ayah mereka bengis dan tidak boleh dibawa berbincang, lantas mengalihkan pendapat dan luahan hati kepada rakan-rakan. Adakalanya mereka seolah-olah memberontak apabila pendapat mereka disanggah.

Aku merasakan seorang ayah perlu tegas dalam prinsipnya, tetapi mesti berhikmah dalam melaksanakan pendiriannya. Aku bersyukur kerana ayahku seorang yang seorang yang tegas tetapi berlemah-lembut dalam tutur katanya.

Setiap tegahan dan pendapat seringkali diikuti dengan alasan yang wajar supaya kami sekeluarga faham akan setiap larangan atau suruhan ayah.

Oleh itu, aku merasakan bahawa seorang ayah perlu memiliki ketrampilan mendekati anak-anak dengan adab, disiplin, kesantunan menerusi daya komunikasi yang tinggi supaya bapa menjadi sumber rujuk dan teladan bagi anak-anak sehingga anak-anak boleh mandiri dengan bakat dan kebolehannya.

Aku faham bahawa tugas ayah sama besarnya dengan tugas ibu. Mana mungkin kita boleh menafikan peranan ayah dalam membimbing keluarga. Ayah bukan setakat bekerja mencari nafkah menyara keluarga, malah lebih dari itu.

Ia meliputi keupayaan mendidik dan memberi kasih sayang, mengimbangi didikan ibu, menjaga keselamatan serta tempat rujukan yang menawarkan sumber teladan, jalan berhubung untuk anak-anak menyatakan keluhan dan mendapat jawapan tentang sesuatu perkara yang berbangkit secara jujur, sabar dan bijaksana.

Sesungguhnya dalam hal ini seseorang ayah menanggung amanah yang besar apatah lagi dengan cabaran pada zaman moden ini. Tidak mudah mendepani cabaran berkeluarga sekiranya tiada keikhlasan, kesediaan, kesungguhan, pengetahuan tentang tugas kebapaan, kemampuan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku." (riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

Ayah sentiasa mengingatkan kami bahawa keluarga yang bahagia dan mampu menghasilkan anak-anak yang cerdik dan ceria adalah keluarga yang mempunyai keakraban hubungan yang tinggi. Seluruh kasih sayang ibu bapa tertumpah untuk mendidik anak. Ibu bapa menjadi contoh terbaik kepada anak-anak.

Pada ibu bapa terdapat sumber inspirasi dan motivasi tinggi hingga menyebabkan anak-anak kembali kepada keluarga apabila menghadapi sesuatu masalah. Atas nama kasih sayang dan belaian, masalah anak-anak dapat diatasi dengan bijaksana. Inilah kualiti anak-anak yang diperlukan supaya remaja dan dewasanya menyumbang terhadap negara dan umat.

Tiba-tiba aku berasa haus, lalu aku keluar ke dapur untuk mengambil secawan air. Sempat kilas mataku melihat ke ruang perpustakaan. Lampunya terbuka. Aku pasti ayah ada di situ. Tentu sedang ralit menghadap komputer mencurahkan idea untuk kertas kerjanya, artikel dan jurnal.

Begitulah kebiasaan ayah kini. Jika tiada kelas bersama anak muridnya di universiti dan undangan ceramah, itulah aktiviti ayah. Jangkaanku tepat. Ayah sedang menaip dengan tekun. Aku tersenyum sendirian, masuk kebilikku untuk menyambung kerjaku. S

Sesungguhnya kesungguhan dan keazaman ayah menjadi inspirasi dan pendorong kepada kami untuk memajukan diri dan seterusnya menjadi kebanggaan ayah kelak.

No comments: