Pages

Tuesday, March 31, 2009

Ada orang fobia tudung


SOALAN:
PENGETUA tempat saya mengajar cukup baik dengan pelajar dan guru-guru sesi pagi dan sesi petang. Selalu adakan kelas petang, kelas tambahan, selalu mesyuarat menyebabkan sesetengah guru lenguh dibuatnya dan terlalu mengambil berat disiplin pelajar.

Dia mempunyai Master of Education dari Universiti Malaya. Masalahnya sehingga kini dia tidak memakai tudung. Di sekolah kami, boleh dikatakan semua pelajar Melayu pakai tudung, kecuali beberapa anak Orang Asli.

Ada ustaz dan ustazah datang memberi syarahan dan menyentuh tentang hukum-hukum menutup aurat di luar sembahyang. Malangnya dia tidak datang ke ceramah tersebut, sibuk di pejabat. Pernah saya lihat dia memakai tudung semasa menghadiri majlis kematian seorang pelajar di kampung berhampiran, paras rupanya kelihatan lebih ayu dan anggun, tetapi jambulnya tetap keluar.

Saya suka kepadanya kerana dia seorang pengetua yang dedikasi, tegas dan tidak pilih kasih ketika memberi markah prestasi guru untuk naik pangkat atau ketika memberi sokongan kepada guru-guru yang ingin cuti dan melanjutkan pelajaran.

n Nurul, Kajang.

JAWAPAN: Aurat seorang perempuan yang telah baligh di luar sembahyang dengan lelaki ajnabi, termasuk guru perempuan iaitu pengetua, yang dimaksudkan dalam perbicaraan ini dengan guru-guru lelaki, termasuk murid-muridnya ialah seluruh badan, kecuali muka dan tapak tangan. Kerana itu rambut adalah aurat yang wajib ditutup, biasanya dengan tudung.

Banyak faktor menyebabkan seseorang itu tidak bertudung. Faktor ini mungkin berbeza antara satu dengan lain, ataupun faktor itu saling kait mengait.

Sebab utama antaranya ialah kerana seseorang itu tidak dididik supaya bertudung, iaitu ketika keluar dari rumah. Tidak bertudung itu merupakan budaya hidupnya. Emaknya tidak bertudung, kakak adik beradik tidak bertudung, Dalam keadaan seperti ini, sekiranya seseorang itu cuba bertudung, ia akan menjadi janggal, terutamanya ketika mula hendak belajar bertudung.

Keadaan seperti ini berlaku berpunca kerana ibu bapa terutamanya tidak menyedari atau tidak mahu memahami bahawa bertudung itu adalah sesuatu yang disyariatkan. Wajib memakai tudung. Wajib bererti melakukan sesuatu dapat pahala dan berdosa apabila meninggalkannya. Setiap suatu yang diwajibkan, kalau sesuatu itu diharamkan, maka keburukan di sebalik amalan itu adalah banyak. Keburukan atau mudarat pada diri sendiri juga masyarakat.

Selain daripada pengaruh ibu bapa dan keluarga, suasana sekeliling tidak berupaya mendidik, atau membentuk individu berkenaan untuk bertudung. Ada di antara kawan-kawan yang bertudung, tetapi apa yang berlaku tidak melahirkan minat kepada individu berkenaan untuk bertudung.

Ada orang yang bertudung memahami bahawa amalan bertudung itu sesuatu yang disyariatkan, kerana ajaran agama yang dianuti. Sebaliknya, tidak kurang pula mereka yang bertudung semata-mata kerana orang lain bertudung, kawan-kawan ramai yang bertudung dan amalan yang dilakukan tidak ada kaitannya dengan pemahaman agama yang menyuruh setiap orang itu bertudung. Kerana itu bertudung hanya merupakan satu fesyen, trend terkini.

Di kalangan orang yang seperti inilah maka lahirnya manusia yang bertudung, tetapi duduk di bawah pokok, atau di tempat-tempat gelap bercengkerama dengan kekasihnya. Bertudung, tetapi ligat berjoget lelaki perempuan di kelab-kelab atau di majlis-majlis tertentu. Bertudung menjadi satu trend atau fesyen yang sama sekali tidak ada kaitan dengan ajaran agama.

Sesetengah ibu dan bapa memahami bertudung itu sopan dan salah satu perintah agama, tetapi si anak tetap tidak mahu memakai tudung, Tidak ada sebab yang jelas, tetapi memang tidak mahu bertudung. Di kelas, semua pelajar sebahagian besarnya bertudung. Hendak dikatakan tidak bertudung mukanya kelihatan cantik dan anggun tidak juga. Ketika tidak bertudung rambutnya naik menggerutu macam rambut gondrong, malah kalau ia bertudung, ia akan kelihatan lebih cantik. Berupaya menutup kelemahan rambut yang didedahkan, tetapi ia tetap tidak mahu bertudung.

Pelajar seperti ini ada kalanya tidak mahu sekolah, biarpun sekolah berkenaan berhampiran dengan rumah. Kedua-dua ibu bapanya bermati-matian mencari punca keengganannya ke sekolah. Banyak andaian ditemui, lalu akhirnya didapati anak berkenaan tidak mahu ke sekolah kerana ibu bapanya, terutamanya si ibu seumpama memaksanya memakai tudung ketika sekolah.

Ia suka ke sekolah apabila dipindahkan ke sekolah lain di mana sebahagian daripada pelajar Melayu Islam tidak bertudung dan akhirnya pelajar ini menjadi sebahagian daripada mereka.

Sukar untuk menganalisis fenomena seumpama ini. Hendak dikatakan cantik ketika tidak bertudung, tidak juga. Malah kalau ia bertudung, itu adalah lebih anggun. Hendak dikatakan tidak dididik dengan agama atau kedua ibu bapanya tidak menyuruhnya bertudung, lagi tidak kena. Teman-teman dalam kelas kesemuanya bertudung.

Allah masih belum memberinya hidayah agar bertudung, Yang jelas, sejak di sekolah rendah, pelajaran agama langsung tidak diminati,. Ketika keluar rumah ia memilih teman-teman sepertinya, pakai baju sesingkat boleh, seluar jeans seketat mungkin. Jiwanya memberontak kalau disuruh memakai baju kurung, baju-baju yang banyak disimpan oleh ibunya, yang sememangnya hendak diwariskan kepada anak perempuan tunggalnya.

Tidak ada sebab atau punca utama kenapa bertudung itu menjadi satu trend tingkah laku menyebabkan fobia atau budaya yang paling tidak disukai.

Hal yang sama berlaku kepada pengetua sekolah tempat saudari mengajar. Pastinya pengetua berkenaan faham dan menyedari bahawa menutup aurat, termasuk bertudung itu salah satu ajaran agama. Dia juga kelihatan lebih cantik dan anggun ketika bertudung, biarpun dengan mengeluarkan jambulnya.

Dalam masa yang sama, kesemua guru perempuan, kecuali bukan beragama Islam, yang lebih daripada 100 orang guru, yang baru lepasan kolej atau yang hampir pencen kesemuanya bertudung ketika di sekolah.

Mungkin Allah masih belum membuka hatinya atau memberinya hidayah untuk memakai tudung, menyebabkan jiwanya memberontak untuk bertudung. Apa yang berlaku di persekitaran tidak berupaya merangsang untuk bertudung.

Mesej yang disampaikan oleh ustaz dan ustazah yang memberi ceramah di sekolah tidak kesampaian, kerana pengetua tidak minat hadir ke kuliah agama. Perilaku ketua atau bos yang tidak menghadiri kelas agama adalah perkara biasa, bukan sahaja berlaku di sekolah puan.

Terjadi demikian kerana bos yang berkenaan tidak merasakan bahawa kehadiran tersebut perlu. Yang selalu datang ke ceramah-ceramah seperti ini ialah penolong bos, rakyat marhaen dan seumpamanya, itupun sebahagian daripada mereka tidur tersandar di kerusi-kerusi berhawa dingin terutama ketika kuliah diadakan pada waktu tengah hari. Selalunya kelas-kelas seumpama ini dihadiri atau dipenuhi oleh kaum wanita. Alhamdulillah. Allah rahmati suami-suami yang mempunyai isteri seperti ini.

Apabila seorang ustazah itu bertudung menutup auratnya, maka orang yang tidak memahami Islam itu memikiri bahawa bertudung itu adalah tanda Islamnya seseorang. Begitu juga apabila bertudung itu dilakukan oleh seluruh atau sebahagian besar pelajar perempuan. Apabila seorang pengetua Melayu beragama Islam tidak bertudung, maka akan lahir dalam persepsi mereka yang pengetua ini tidak mematuhi ajaran Islam yang dianuti atau dirasai yang pengetua perempuan itu tetap Islam, tetapi lain daripada Islam yang dilakukan oleh mereka yang bertudung. Atau mungkin dianggap mereka yang tidak bertudung itu lebih moden berbanding dengan guru-guru perempuan yang bertudung, pada hal di kalangan guru perempuan yang bertudung juga mempunyai sarjana.

Kemungkinan besar pengetua yang tidak bertudung seperti yang dibicarakan dalam kes ini, atau pelajar perempuan yang masih tidak bertudung, pada hal guru-guru lain, juga pelajar lain bertudung itu kerana Allah masih belum buka hidayahnya untuk bertudung seperti yang disuruh oleh Islam. Insya-allah satu ketika nanti apabila Allah buka hidayah, mereka akan bertudung.

Apa cacatnya kalau guru yang enggan bertudung itu biarpun tidak merasakan bertudung itu salah satu ajaran agama. Menghormati orang lain, guru-guru lain di bawah seliaannya. Datang ke majlis-majlis agama itu tidak penting demi menghormati kegiatan kelab-kelab atau persatuan di sekolah. Pergi sekejap, lepas itu kalau hendak terlena, tidak ada orang marah pun. Tetapi bagi pengetua untuk tidur sukar sedikit kerana pengetua kena duduk di barisan depan.

Di Malaysia segala kemudahan lengkap, bebas mengamalkan ajaran agama, tetapi sayangnya masih ada malah ramai manusia menepikan perkara-perkara atau amalan yang berkaitan agama. Rasanya, negara yang miskin, sering mengalami banjir, kemarau, ribut taufan, peperangan sesama Islam atau golongan minoriti Islam tentunya sukar bagi mereka untuk mempelajari atau mengamalkan ajaran Islam, menyebabkan amalan Islam mereka begitu longgar. Gambaran ini dapat dibuktikan apabila mereka datang ke Malaysia, sama ada secara sah atau tidak sah.

No comments: