Pages

Friday, November 7, 2008

PATUH TANDA CINTA KEPADA RASULULLAH

Patuh tanda cinta kepada Rasulullah

SOALAN 1
Ramai wanita Islam yang pergi mengerjakan umrah (dan haji) sekembalinya ke tanah air dalam kehidupan seharian tidak berpakaian menutup aurat dengan betul. Mengapakah ini berlaku?

JAWAPAN

Ibn Ashur dalam kitabnya Maqasid al-Syariah menjelaskan, bahawa setiap perintah Allah bukan untuk membebankan tetapi bagi mengembalikan manfaatnya kepada orang yang mahu beramal dan mengamalkan perintah-Nya. Pokok pangkal dalam persoalan ini ialah keimanan seseorang kepada Allah. Kenapa di zaman Rasulullah SAW yang masyarakatnya terkenal dengan keras hati yang dinobat sebagai masyarakat jahiliah berubah dalam tempoh 23 tahun usaha kenabian Muhammad?

Jawapannya mudah, kerana keimanan mereka yang tidak berbelah bagi dengan ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah melalui wahyu. Menutup aurat adalah lambang kepada kesempurnaan iman seorang wanita kepada Allah SWT. Mekah di mana tersergam indahnya Kaabah, telaga zam-zam yang tidak putus-putus menghilangkan dahaga setiap pengunjung, safa dan marwah yang menyaksikan pengorbanan seorang ibu yang tidak sanggup melihat anaknya kelaparan.

Madinah pula adalah bumi bertuah yang tersemadi padanya jasad baginda SAW, yang menjadikan setiap pengunjung menitiskan air mata, menzahirkan rasa rindu, cinta dan kasih pada Rasulullah.

Sayangnya, semua itu hanya dikunjungi, seperti mengunjungi tempat-tempat peranginan yang lain. Sepatutnya pergi dengan dosa yang belum terlangsai, balik sebagai bayi yang baru dilahirkan, suci daripada dosa. Maksudnya balik dengan perubahan, bukankah Nabi yang diziarahi itu telah memberitahu supaya wanita mesti menutup aurat?

Tanda cinta dan sayang kita pada Nabi SAW dan agama ialah berusaha sungguh-sungguh melaksanakan agama dalam diri kita. Jika tidak agama yang dianugerahkan kepada kita akan jadi adat dan warisan, bukannya penghayatan dan perubahan.

Perintah Allah kepada Rasulullah supaya memastikan anak isteri dan kaum wanita yang beriman supaya menutup aurat dengan sempurna, firman Allah yang bermaksud: Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Ahzab: 59)

SOALAN 2

ADA sebahagian orang mengatakan bahawa rambut wanita tidak termasuk aurat dan boleh dibuka. Apakah hal ini benar dan bagaimana dalilnya?

JAWAPAN

Para ulama sepakat mengatakan rambut wanita adalah aurat yang wajib ditutup dan haram mendedahkannya kepada yang bukan mahram. Kesepakatan ini terdiri dari para ulama fiqh, ulama hadis dan ahli tasauf, bahwa rambut wanita itu termasuk perhiasan yang wajib ditutup, tidak boleh dibuka di hadapan orang yang bukan mahramnya.

Dalil dalam persoalan menutup aurat bagi kaum hawa ialah firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah kepada wanita yang beriman, Hendaklah mereka menahan pandangannya, memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa) tampak darinya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya, ... (An-Nuur: 31).

Berdasarkan ayat di atas, Allah melarang bagi wanita yang beriman dari memperlihatkan perhiasannya kecuali yang lahir . Di antara para ulama, baik dahulu mahu pun sekarang, tidak ada yang mengatakan rambut wanita itu termasuk hal-hal yang lahir; bahkan ulama-ulama yang berpandangan luas, hal itu digolongkan perhiasan yang tidak tampak.

Dalam tafsirnya, Al-Qurthubi mengatakan, “Allah SWT melarang kepada kaum wanita, agar dia tidak menampakkan perhiasannya (keindahannya), kecuali kepada orang-orang tertentu; atau perhiasan yang biasa tampak”.

Ibnu Mas‘ud berkata: “Perhiasan yang zahir (biasa tampak) ialah pakaian”. Ditambahkan oleh Ibnu Jubair, “Wajah”. Ditambah pula oleh Sa‘id Ibnu Jubair dan Al-Auzai; “Wajah, kedua tangan dan pakaian.”

Ibnu Abbas, Qatadah dan Al-Masuri Ibnu Makhramah berkata, “Perhiasan (keindahan) yang lahir itu ialah celak, perhiasan dan cincin termasuk dibolehkan (harus)”.

Ibnu Atiyyah berkata: “Yang jelas bagi saya ialah perkara sesuai dengan erti ayat tersebut, bahwa wanita diperintahkan untuk tidak menampakkan dirinya dalam keadaan berhias yang indah dan supaya berusaha menutup keindahan dari dirinya. Unsur istisna’ (pengecualian) bahagian yang kiranya sukar untuk ditutup, kerana adanya keperluan dan kesukaran, anggota yang dimaksudkan ialah; wajah dan tangan.”

Al-Qurthubi berpendapat, “Pandangan Ibnu Atiyah tersebut adalah baik, ini kerana biasanya wajah dan kedua tangan itu kelihatan di waktu biasa dan ketika melakukan amal ibadat, misalnya solat, ibadat haji dan sebagainya”.


No comments: