Pages

Wednesday, February 4, 2009

Bermula dari kebersihan mulut


PENYAKIT jantung, kencing manis dan obesiti adalah di antara penyakit yang biasanya dikaitkan dengan masalah kesihatan di kalangan rakyat Malaysia.

Dengan kesibukan harian, kita asyik memberi perhatian yang lebih kepada penjagaan kecergasan badan dan rupa paras, tetapi kita sering mengabaikan satu lagi aspek penting kesihatan diri iaitu kebersihan gigi.

Kebenarannya adalah, kesihatan gigi juga patut diberikan perhatian yang sama sebagaimana kita mementingkan kesihatan badan.

Berdasarkan satu penyelidikan yang dibuat melalui Tinjauan Kesihatan Oral Golongan Dewasa Kebangsaan Malaysia pada tahun 2000, didapati bahawa kebanyakan rakyat Malaysia tidak memberi perhatian dan kepentingan terhadap kesihatan gigi.

Malahan, penyelidikan itu turut mendapati sembilan daripada 10 rakyat Malaysia terdiri daripada golongan yang mempunyai masalah gigi dan penyakit gusi.

Tinjauan yang di lakukan setiap 10 tahun itu juga menunjukkan hanya 50 peratus rakyat Malaysia mengunjungi doktor gigi apabila mengalami masalah gigi.

Aspek fizikal

Kesegaran dalam senyuman adalah penting bagi setiap manusia. Tetapi penjagaan gigi tidak hanya boleh dikecapi dengan memberus gigi dua kali sehari serta mengunjungi doktor gigi.

Persoalan yang perlu kita semua tanya kepada diri sendiri adalah, adakah saya memberus gigi dengan berkesan?

Kedua, adakah saya mengamalkan langkah-langkah pencegahan kerosakan gigi yang sepatutnya seperti pengunaan berus gigi yang betul?

Penyakit Periodontal

Periodontitis merujuk kepada penyakit pembengkakan (inflammatory disease) yang memberi kesan pada struktur 'periodontium' iaitu tisu-tisu yang mengelilingi gigi dan bertindak sebagai penyokong gigi kita.

Memberus gigi dapat memecahkan plak, iaitu sekumpulan bakteria dan sisa makanan yang membentuk biofilm, dan seterusnya akan membentuk satu lapisan keras di sekitar permukaan gigi dan gusi kita.

Sasaran kita adalah untuk memecahkan biofilm setiap hari ketika memberus gig sebelum ianya mula merebak.

Mengabaikan kesihatan gigi dan tidak mengambil langkah-langkah penjagaan yang baik boleh menyebabkan pembiakan meluas bakteria berbahaya (pathogenic bacterial overgrowth), yang akhirnya boleh menjangkiti tisu-tisu gusi kita.

Bermula di mulut

Kesihatan yang baik bermula di mulut. Ini kerana permulaan proses pencernaan makanan ataupun permulaan sistem penghadaman berlaku di dalam mulut kita.

Kebolehan untuk mengunyah dan menghadam makanan juga merupakan satu faktor penting dalam menjaga kesihatan diri.

Kesimpulannya, mulut yang bersih dapat mengurangkan risiko mendapati penyakit gigi seperti periodontitis yang boleh menyumbang kepada permulaan penyakit serius seperti penyakit jantung dan kencing manis.

Nutrisi memainkan dua peranan yang berbeza dalam kesihatan gigi iaitu perlindungan dan pencegahan.

Peranan perlindungan adalah untuk mengekalkan kesihatan mulut dan mengelakkan tisu-tisu yang melindungi mulut secara semula jadi daripada dijangkiti bakteria.

Memupuk sifat mengambil berat

Rakyat Malaysia perlu memberi keutamaan kepada kesihatan gigi bagi mengekalkan gaya hidup yang sihat dan perlu berhati-hati dalam pemilihan pemakanan.

Pencegahan plak harus di mulakan di rumah dengan amalan dan penggunaan alatan pembersihan gigi, seperti berus gigi, yang betul.

Berikut adalah tip-tip penjagaan gigi yang berguna bagi pengguna yang ingin memperbaiki kesihatan gigi mereka:

* Memupuk sifat berhati-hati, bernas dan munasabah ketika memilih makanan. Ini adalah peraturan yang bukan sahaja baik bagi kesihatan gigi, malahan untuk kesihatan badan juga.

* Pastikan anda menggunakan berus gigi yang betul dan ganti berus gigi sekali setiap tiga bulan.

* Seboleh-bolehnya berus gigi dengan ubat gigi berfluorida dua kali sehari.

* Membuat lawatan berkala, sekerap mungkin ke doktor gigi.

* Mengehadkan pengambilan makanan dan kurangkan memakan makanan ringan terutamanya yang mengandungi gula.

Pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati. Plak dapat di singkirkan secara efektif dengan memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali setiap hari, selepas makan, dengan menggunakan berus gigi yang betul.

Memilih berus gigi yang betul serta mempunyai kebolehan menyingkir plak adalah penting bagi mengekalkan kesihatan gigi yang baik.

Dalam usaha membantu meningkatkan tahap kesihatan gigi dan gusi rakyat Malaysia, Oral-B telah memperkenalkan berus gigi yang direka khas untuk penyingkiran plak secara efektif seperti berus gigi Oral-B CrossAction Massage.

Antara ciri unik berus gigi tersebut adalah CrisCross bristles (berus silang pangkah) dan gum stimulators (stimulator gusi) yang dapat membantu menyingkirkan plak dengan lebih efektif.

No comments: