Pages

Wednesday, February 18, 2009

Jangan ikut perangai Yahudi


KITA sering mendengar ungkapan doa itu adalah senjata orang Mukmin. Allah dengan sifat Maha Pemurah dan Penyayang telah menjanjikan setiap doa itu akan dimakbulkan.



Ini sebagai mana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kepadaKu, nescaya akan ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina. (Ghafir: 60)

Realitinya, tidak semua permohonan kita diperkenankan oleh Allah. Lebih-lebih lagi doa kita yang memohon agar sesuatu kaum seperti Israel itu dimusnah dan dihancur leburkan oleh Allah. Ini ekoran perbuatan kejam mereka ke atas rakyat Palestin.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Eksekutif Zakat, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Ahmad Husni Abdul Rahman bagi mengupas isu ini.

MEGA: Apakah antara syarat untuk doa itu dimakbulkan?

AHMAD HUSNI: Sebagai manusia yang lemah, kita memang digalakkan berdoa kepada Allah memohon pertolongan pada setiap masa. Istiqamah ini penting, lebih-lebih lagi apabila kita berhadapan dengan masalah atau cubaan.

Malah, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Doa itu adalah ibadah". (riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibn Majah)

Ada beberapa adab atau syarat berdoa yang mustajab. Pertama, ia perlu terbit daripada keikhlasan bukan dipaksa atau dibuat-buat.

Kedua, permintaan atau permohonan itu haruslah dalam bentuk biasa, tidak boleh terlalu hebat. Contohnya berdoa untuk kemenangan ketika bertemu musuh seperti di Gaza.

Adalah memadai berdoa memohon diselamatkan umat Islam di Palestin dan menghancurkan orang Yahudi yang memusuhi Islam. Bukannya memohon yang keterlaluan seperti minta dihancur leburkan Yahudi sehingga tidak tinggal sedikit pun.

Ini sebagaimana hadis Nabi SAW daripada Abdullah Abu Aufa yang bermaksud: Rasulullah pernah mendoakan atas kecelakaan pasukan yang bersekutu: Ya Allah, Zat yang menurunkan Kitab dan yang sangat cepat perhitungan-Nya, hancurkanlah pasukan yang bersekutu. Ya Allah, hancurkan dan goncangkanlah mereka. (riwayat Muslim)

Ketiga, doa itu hendaklah dipohon secara sederhana, bukan menjerit-jerit atau mendayu-dayu. Ia perlulah penuh pengharapan dan rasa rendah diri terhadap Allah.

Apakah pula antara sebab sesuatu doa itu belum lagi dimakbulkan?

AHMAD HUSNI: Allah berfirman yang bermaksud: Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku (Allah), maka jawablah bahawasanya Aku adalah dekat, Aku kabulkan permohonan mereka yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu dalam kebenaran. (al-Baqarah: 186)

Dalam kes Gaza, misalnya, ada kemungkinan doa agar kemenangan berpihak kepada umat Islam itu ditangguhkan oleh Allah. Memanglah janji Allah bahawa Islam itu akan menang.

Cuma soalnya, Islam yang bagaimana? Sudah tentu umat Islam yang kembali kepada Allah dan Rasulnya sebagaimana firman Allah di atas tadi.

Kalau kita tidak ada kualiti yang sedemikian bagaimana Allah hendak memberi kemenangan? Apakah umat Islam kini layak mendapat bantuan malaikat utusan Allah sebagaimana pasukan tentera Perang Badar?

Kita masih mengamalkan budaya negatif seperti hedonisme malah ada juga yang 'berkelakuan' seperti Yahudi. Kita kata benci pada Yahudi tetapi kita masih tidak boleh tinggalkan perkara-perkara yang sepatutnya.

Kita memboikot barangan Yahudi tetapi fiil atau perangainya masih jadi ikutan. Contohnya, kita menolak kapitalis tetapi dalam muamalat ia masih diamalkan.

Boikot dari segi barangan mungkin boleh tetapi boikot hiburan belum tentu. Apa langkah menanganinya?

AHMAD HUSNI: Kebanyakan hiburan datang dari media Barat dan pihak yang menyokong agenda Israel.

Umat Islam perlu tabah dalam menghadapi situasi kini. Boikot ini pun bukan selama-lamanya. Sebaliknya, pihak yang terlibat dengan industri hiburan tempatan perlu mengisi kelompongan ini. Masalah sekarang, seolah-olah tidak ada alternatif hiburan Islam.

Ini juga adalah cabaran untuk menghidupkan hiburan Islam. Ruang dan bantuan perlu diberi kepada mereka untuk berkarya sebagai alternatif kepada hiburan Barat.

Hal ini juga adalah jihad bagi umat Islam. Bayangkan setiap kali kita berseronok menikmati hiburan Barat hasilnya disumbangkan kepada Israel yang menyerang penduduk Palestin.

Demikian juga dengan rokok. Sepatutnya umat Islam kena berhenti merokok yang berkaitan syarikat rokok Yahudi, Philip Morris. Memang ia bukan mudah tetapi bayangkan setiap batang rokok itu sama dengan sebutir peluru yang membunuh rakyat Palestin.

Ada pandangan bahawa, kalau mahu Allah boleh menangkan atau tinggikan kedudukan umat Islam tanpa perlu melalui ujian. Benarkah pandangan begini?

AHMAD HUSNI: Memang Allah itu berkuasa memenangkan umat Islam atau menjadikan semua manusia itu Islam.

Bagaimanapun, ujian itu seolah-olah tidak putus-putus. Contohnya di Palestin. Bagi sebilangan orang, keadaan ini pelik. Pada mereka tak kan selama-lamanya Palestin berhadapan ujian sebegini?

Hakikatnya, umat Islam masih duduk pada tahap yang sama. Kalau kita berdoa dijadikan orang yang sabar, Allah tidak bagi terus. Sebaliknya Allah bagi jalan bagaimana mahu mencapainya.

Ini yang harus difahami oleh umat Islam. Ujian-ujian Allah ini membuktikan keprihatinan Allah pada makhluknya. Sebabnya, setiap kali diuji, Allah membuka ruang kepada manusia meningkatkan darjat iman mereka jika mereka sabar.

Ini dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Adakah manusia itu menyangka mereka dibiarkan sahaja mengatakan kami telah beriman sedangkan mereka tidak diuji lagi? (al-Ankabut: 2)

Umat Islam mesti menonjolkan sifat-sifat mahmudah sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran. Kita perlu bersatu-padu, tolong menolong sesama Muslim. Malangnya, ini tidak berlaku.

Kita perlu buktikan, Islam boleh kembali kuat sebagaimana pada zaman Nabi SAW. Jika berjaya ke tahap itu sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran, barulah kemenangan akan datang, insya-Allah.

Napoleon Bonaparte pernah bertanya kepada perisiknya, bagaimana keadaan saf umat Islam pada waktu Subuh. Lalu dia berkata, umat Islam tidak akan menang sehingga bilangan yang solat subuh itu seramai yang solat Jumaat.

Realiti hari ini, ada umat Islam yang tidak solat Jumaat pun. Pandangan mereka ialah Islam benarkan tidak solat Jumaat tiga kali, cuma jangan berturut-turut.

Kekuatan ekonomi boleh menjadikan Islam itu kuat dan disegani. Apakah strategi ke arah mencapainya?

AHMAD HUSNI: Malangnya, kita hanya menjadi golongan pengguna bukannya golongan pengeluar. Suara-suara menjadi pengeluar itu hanya tinggal retorik. Namun tidak ada usaha sama memberi peluang, sokongan dan bantuan kepada usahawan Muslim.

Tak kanlah dalam bab libatkan wanita seperti tuala wanita pun kita nak serahkan pada Yahudi. Sepatutnya kita bantu usahawan Muslim mengembangkan potensi mereka. Baik dari segi modal atau peluang membuat penyelidikan dan pembangunan. Ini supaya produk keluaran mereka bukan sahaja setanding malah lebih baik daripada yang dihasilkan oleh Barat.

Ilmu yang dimiliki oleh umat Islam kini bukan sedikit. Kita sepatutnya telah bertindak dari dulu. Namun apabila sudah ada kesedaran kini, usaha-usaha begini perlu diwujudkan.

Jika ditakdirkan, barangan tersebut tidak ada alternatifnya, maka perlu timbul rasa berat hati dan kesal apabila kita membeli atau menggunakannya.

Insya-allah pencerobohan Israel di Gaza akan berakhir tetapi apa tindakan umat Islam selepas itu. Usaha untuk mengalahkan mereka dari sudut ekonomi mesti diteruskan. Jangan bermusim atau hanya hangat-hangat tahi ayam.

No comments: