Pages

Wednesday, February 4, 2009

Pendiam di luar, keletah di rumah



kanak-kanak yang pendiam lazimnya lebih gemar bermain sendirian.


SIKAP pendiam anak terutamanya dengan orang asing yang luar daripada kelompok keluarganya sering memeningkan kepada ibu bapa terutama dalam memikirkan masalah yang bakal timbul apabila ke sekolah ataupun berinteraksi sosial.

Kanak-kanak ini kerap tidak memberi maklum balas kepada pertanyaan yang diajukan sedangkan ia mengetahui jawapannya. Banyak faktor mempengaruhi sikapnya yang pendiam ini.

Antaranya, genetik, pendedahan oleh ibu bapa terhadap ilmu bersosial, persekitaran dan asuhan penjaga atau pengasuh.

Ketua Jabatan, Perunding dan Pakar Pulmonori Pediatrik, Hospital Serdang, Dr. Norrashidah Abd. Wahab berkata, faktor genetik memain peranan penting dalam pembentukan personaliti kanak-kanak.

Katanya, sikap kanak kanak-kanak yang tidak mahu bercakap, tidak mahu bergaul dan mempunyai personaliti yang kurang bersosial adalah kerana faktor genetik yang diperoleh daripada keturunan.

Katanya, jika salah seorang ibu atau bapa itu agak kurang bercakap atau pendiam, maka anak turut mempunyai pengaruh itu. Ia mungkin tidak boleh 'lari' daripada memiliki genetik pendiam, tetapi boleh diasuh dan diberi pendedahan kepada ilmu bersosial.

''Namun begitu, jika tiada pendedahan diberi kepada anak, mereka akan terus menerus menjadi pendiam dan inilah sebab interaksi sosial tidak boleh diaplikasi apabila mereka telah memasuki alam persekolahan. Mereka akan terus menjadi pendiam walaupun guru cuba bertindakbalas dengan anak-anak ini.

''Agak berlainan jika sekiranya, anak ini sentiasa diberi dorongan berkemahiran sosial atau ibu bapa menunjukkan tauladan dalam berinteraksi dengan persekitaran, maka inilah yang akan menjadi ikutan oleh anak ini dan sedikit demi sedikit, genetik pendiam ini akan hilang dalam diri mereka. Pendek kata, ia harus dipupuk sejak kecil dengan pelbagai dorongan kerana anak-anak memerlukan 'pemangkin' dalam membentuk diri mereka sendiri dan ibu bapa menjadi role model kepada personaliti mereka,'' katanya ketika ditemui di Hospital Serdang, baru-baru ini.

Asuhan

Menurut Dr. Norrashidah, perwatakan pendiam ini turut boleh dibezakan mengikut asuhan yang diterima daripada penjaganya.

''Kita boleh bezakan kanak-kanak yang tinggal di nurseri dengan di rumah. Di nurseri, kanak-kanak ini pandai bergaul, mudah mesra, tidak pemalu, keletah dengan ramai rakan-rakan yang pelbagai usia berbanding dengan anak yang duduk di rumah, hanya ditemani oleh ibu, datuk nenek atau pembantu rumah. Mereka tidak didedahkan dengan persekitaran pelbagai rakan. Hanya yang dia kenal ialah penjaganya sahaja.

''Namun, sekiranya penjaganya rajin melayannya berkomunikasi, sikap pendiam ini boleh diatasi, tetapi jika sebaliknya, ia akan menjadi seorang kanak-kanak yang tidak mengenal dunia luar seperti katak bawah tempurung apabila bersekolah nanti,'' katanya.

Tambahnya yang berpengalaman hampir 20 tahun dalam dunia psikiatri, kanak-kanak menjadi pendiam kerana asuhan di peringkat tumbesarannya dan bukannya lahir terus menjadi pendiam.

Mereka perlu rangsangan daripada ibu bapa iaitu mengajar kanak-kanak ini berinteraksi dengan persekitaran.

Inilah sebabnya, bagaimana cara asuhan yang diterima dan pendedahan kepada persekitaran penting dalam menentukan pendiam atau tidak kanak-kanak itu selain daripada faktor genetik yang memang ada pada diri mereka.

''Kanak-kanak pendiam ini perlu diajar cara berinteraksi dan mendedahkan dengan persekitaran yang melebihi sempadan adik-beradik dan saudara mara. Ia harus dibiarkan bersosial dengan jiran-jiran atau rakan-rakan ibu bapa.

''Malah, ibu bapa juga harus menunjukkan contoh dalam bersosial iaitu sentiasa menegur sapa jiran-jiran atau menanya khabar dengan rakan-rakan.

''Begitu juga dengan adat bersalam adalah salah satu cara mendedahkan dan berinteraksi dengan orang luar,'' katanya.

Lain pula fenomena apabila kanak-kanak yang pada awalnya begitu peramah tetapi tiba-tiba menjadi pendiam.

''Ini kerana ada sesuatu berlaku, mungkin ada tekanan dan masalah. Justeru, ibu bapa perlu memerhati perubahan personalitinya.

''Kanak-kanak ini mungkin mengalami penderaan seksual secara fizikal dan psikologi. Mereka didera sehingga menyebabkan mereka lebih suka menyendiri dan pendiam.

''Namun begitu, kanak-kanak ini juga boleh menjadi sebaliknya iaitu nakal. Kadangkala, kanak-kanak yang mempunyai masalah di sekolah seperti dibuli oleh rakan sebaya turut menyumbang kepada sikap pendiam ini,'' menurutnya.

No comments: